Tabung Bersama Mu

Blog Widget by LinkWithin

Sunday, November 15, 2009

Insurans motor RM20 tahun depan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan satu skim perlindungan insurans mampu milik dengan bayaran serendah RM20 bagi membolehkan semua rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah khususnya di luar bandar menikmati perlindungan insurans motor.



Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung, berkata skim itu yang akan dilancarkan pada pertengahan tahun depan, dijangka memberi perlindungan insurans sehingga RM20,000 membabitkan kes kematian atau ketidakupayaan kekal.

Beliau berkata, premium skim perlindungan itu ditetapkan pada kadar berpatutan dan tidak membebankan rakyat serta berpadanan dengan tahap perlindungan.

"Buat masa ini, kerajaan sedang merangka skim itu, berapa bayaran yang akan dikenakan... yang dijangka tidak lebih RM20 dengan menawarkan perlindungan insurans sehingga RM20,000.

"Oleh itu, tidak ada masalah pada masa akan datang untuk rakyat mendapat akses kepada perlindungan insurans berbanding sekarang, ada yang mengadu agak mahal sehingga mereka gagal memperbaharui polisi kenderaan mereka.

"Usaha kerajaan ini untuk pastikan semua pemilik kenderaan mempunyai insurans, pada masa sama, syarikat insurans tidak boleh menolak permohonan orang ramai untuk mendapatkan perlindungan mengikut kemampuan mereka," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan pemilik kenderaan termasuk kereta yang berusia 10 tahun ke atas yang mendakwa skim perlindungan insurans yang ditawarkan syarikat insurans adalah tinggi dan membebankan mereka.

Mengulas lanjut, Chor berkata skim perlindungan insurans baru itu tidak sama dengan skim insurans kelompok yang diwujudkan kerajaan baru-baru ini bagi membantu kenderaan lama berharga bawah RM10,000. mendapat perlindungan insurans.

"Itu (insurans kelompok) beri perlindungan terhadap kereta, ini (skim baru mampu milik) untuk peribadi (pemilik kenderaan).

"Skim ini memberi perlindungan insurans asas mandatori bagi kecederaan kepada anggota badan dan kematian pihak ketiga serta membolehkan pihak yang menuntut mendapat pampasan pada kadar segera," katanya.

Mengulas lanjut mekanisme baru subsidi minyak yang dilaksanakan Mei tahun depan, Chor berkata kerajaan mungkin akan mengkaji jenis kenderaan pemilik sebagai asas perkiraan memberi bantuan subsidi.

"Mungkin kita akan tengok jenis kereta yang dipakai, kalau CC tinggi maksudnya mereka orang berkemampuan dan tidak akan diberi subsidi, CC rendah bermaksud golongan kurang berkemampuan dan akan diberi bantuan.

"Pemberian subsidi itu juga akan dikaji sama ada dalam bentuk baucar seperti kupon beras ST15 untuk sesuatu tempoh seperti sebulan. Kami masih sediakan rangka, cara mana untuk laksanakan, lagi pun lambat lagi, tahun depan, tak terdesak sangat...," katanya.

Ditanya jumlah ketirisan subsidi minyak yang ditanggung kerajaan, beliau tidak mempunyai jumlah itu pada masa ini.

Namun jumlah subsidi petrol dan diesel yang ditanggung kerajaan sehingga September 2009 ialah RM3.54 bilion dan dianggarkan jumlah tanggungan subsidi bagi 2010 ialah RM10 bilion sekiranya mekanisme sedia ada dikekalkan.

1 comments:

aReaL said...

test2...

Post a Comment

Say Something

 
Disclaimer :
aReaL Blog's does not stores any files on its server. And We does not reserve any rights to the content listed on these pages. All references are copyright to their respective owners.If you have any clarifications to be made or If you find any contents in this site which you think can be offensive contact me at are_realize@hotmail.com content will be removed or modified accordingly.Thank You