KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Kerosakan yang dialami Stadium Nasional di Bukit Jalil akibat tindakan liar penyokong Kelantan semasa perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia Sabtu lepas bernilai RM214,000, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Katanya jumlah kerosakan dinilai oleh Perbadanan Stadium Bukit Jalil dan ia memerlukan kos untuk membaikpulih stadium berkenaan.
Kerosakan melibatkan 224 buah kerusi stadium bernilai RM112,000, tiga lorong trek RM60,000, pintu pagar untuk Orang Kurang Upaya (OKU), pintu pagar dan tandas, katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 peringkat dasar di Dewan Rakyat , Selasa.
"Kita nak ingatkan bahawa duit yang digunakan untuk membina Stadium Nasional adalah duit rakyat juga. Kalau kita kena baiki, duit ini datangnya daripada duit rakyat.
"Jadi kita minta kepada penganjur dan penonton untuk memikirkan supaya tidak berlaku lagi kerosakan dan menunjukkan semangat kesukanan," katanya.
Semasa perlawanan itu, Stadium Nasional dipenuhi hampir 80 peratus oleh penyokong Kelantan manakala penyokong-penyokong Negeri Sembilan atau 'Kijang' hanya 15,000 orang.
Apabila Negeri Sembilan mendahului 3-0 selepas sepakan penalti penyerang Mohd Zaquan Adha pada minit ke-58, penyokong-penyokong Kelantan membaling pelbagai objek, mercun dan paling teruk membakar kain rentang serta kerusi di satu bahagian stadium itu.
Bagaimanapun, Ahmad Shabery tidak menafikan kehadiran penyokong bola sepak Kelantan ke Stadium Nasional yang 'menakjubkan' itu berjaya menimbulkan kembali keghairahan orang ramai terhadap sukan bola sepak negara.
"Tahniah kepada penyokong Kelantan yang telah memberi suasana atau pengisian baru dalam arena bola sepak negara dan telah menimbulkan kembali keghairahan orang ramai tentang bola sepak negara," katanya.
Kepada cadangan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) agar diwujudkan undang-undang khas bagi mengawal tingkah laku penonton bola sepak, Ahmad Shabery berkata kementerian akan mengkaji keperluan peraturan tersebut.
Ibrahim ketika mencelah berkata kerajaan perlu serius untuk mewujudkan undang-undang yang dikenali sebagai Akta Penonton Bola Sepak agar penonton tetap bersemangat dan profesional.
"Sukan pun ada kena-mengena dengan penonton. Dalam bola sepak ini, memang banyak kejadian seperti ini berlaku. Kita kena cegah cepat sebelum jadi seperti di Amerika Latin dan Perancis di mana kejadian sedemikian telah melibatkan kematian akibat peminat bola sepak yang ghairah," katanya.
Ibrahim mencadangkan agar semua persatuan sukan mendepositkan wang kepada kementerian bagi menguruskan pembayaran gaji, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan potongan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menurutnya ada segelintir persatuan sukan yang menganaktirikan jurulatih dan pemain tempatan sebaliknya mengambil berat hal kebajikan tenaga dari luar negara.
"Jurulatih import dari luar, bayaran dan imbuhan cukup baik. Tapi bila jurulatih tempatan, gaji pula tak dibayar dan tidak menikmati kemudahan sepertimana diperolehi oleh jurulatih luar.
"Waktu import pemain dibenarkan, bayarannya dibayar dengan cukup lumayan tapi pemain tempatan tidak dibayar, tidak ada imbuhan, tak ada insentif. Kalau ada pun selalunya pada saat akhir seperti apabila sudah berjaya masuk final," kata Ibrahim.
-- BERNAMA --
Wednesday, November 11, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
awal yang baik
Post a Comment
Say Something